Halaman

aku adalah seorang pesara Tentera Laut Di Raja Malaysia..
Di sini adalah untuk cacatan suka duka semasa aku berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Di Raja Malaysia dan selepas persaraan....semuga menjadi tatapan anak cucu di kemudian hari.
Kepada yang berminat menjadi anggota tentera jadikanlah paparan ini sebagai tauladan dan sempadan...Dengan semangat seorang perwira aku bangga menjadi rakyat Malaysia yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Laut Di Raja Malaysia.

Selasa, 27 Oktober 2009

TITAH SULTAN PERAK

LUMUT, 15 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Azlan Shah Sabtu malam bertitah bahawa persaraan pramasa di kalangan penjawat awam merupakan antara sebab berlakunya kehilangan pegawai berpengalaman dalam modal insan bagi perkhidmatan awam di negara ini.

Baginda bertitah walaupun usia perkhidmatan awam di negara ini telah dilanjutkan kepada 58 tahun sejak Julai 2008, namun ia masih dalam usia yang awal untuk perkhidmatan awam kehilangan sumber tenaga manusia berpengalaman terutama dalam perkhidmatan yang memerlukan input intelek yang tinggi seperti di pusat-pusat pengajian, dalam perkhidmatan kesihatan, perubatan, kejuruteraan, seni bina dan sains.

"Usia persaraan perkhidmatan kehakiman adalah 66 tahun, tetapi usia persaraan dalam perkhidmatan undang-undang adalah juga pada usia 58 tahun. Ini mengakibatkan Jabatan Peguam Negara kehilangan para pendakwa dan pegawai perundangan yang berpengalaman.

"Sesungguhnya kehilangan mereka pada usia yang mereka masih produktif adalah satu kerugian besar kepada perkhidmatan. Pengalaman yang terkumpul, yang membentuk kematangan minda, amat diperlukan dalam perkhidmatan-perkhidmatan profesional sedemikian," titah baginda pada perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-22 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia di Wisma Samudera, Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia di sini.

Baginda bertitah setiap pesara membawa bersamanya khazanah pengalaman kerja yang bernilai dan amatlah wajar untuk pengalaman sedemikian dijadikan makluman umum dengan dirakamkan dalam bentuk penulisan dan dibukukan.



"Persatuan Pesara mungkin boleh merintis kerjasama dengan Arkib Negara atau Institusi Latihan seperti INTAN untuk mendokumentasikan pengalaman-pengalaman berharga itu atau mewujudkan satu halaman web yang boleh dikunjungi oleh generasi sekarang," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah adalah penting untuk memastikan bahawa minda seseorang insan itu terus digerakkan aktif walaupun telah mencapai usia persaraan dan usia tua.

Titah baginda, minda yang aktif akan membantu membentuk jiwa yang sihat serta segar dan turut membantu menghindarkan manusia dari bersifat nyanyuk atau rasa tertekan kerana merasakan diri mereka sudah tidak berguna lagi.

"Untuk itu, walaupun telah mencapai usia persaraan, para pesara hendaklah terus menghadiri majlis-majlis ilmu, diskusi dan perbincangan, membaca, mengikuti berita dan perkembangan semasa.

"Malah di negara maju, adalah satu norma bagi orang-orang yang bersara kembali mengikuti kursus di kolej dan universiti, bukan untuk mengambil peperiksaan tetapi sekadar mengikuti kuliah atau dalam istilah akademik dirujukkan sebagai pelajar yang melakukan audit pengajian," titah baginda.

Baginda bertitah penemuan-penemuan baru dan kemajuan yang dicapai dalam teknologi pemakanan, kesihatan dan perubatan telah banyak membantu memanjangkan jangka hayat manusia dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan purata jangka hayat lelaki di negara ini ialah 71.7 tahun dan wanita 76.5 tahun .

"Dengan itu pesara pada hari ini perlu dilihat dari perspektif yang berbeza. Mereka bukan golongan yang sudah tidak bertenaga untuk direhatkan sahaja bagi menghabiskan usia tua.

Mereka masih dalam usia produktif dan berupaya memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara," titah baginda.

-- BERNAMA

1 ulasan:

deeja berkata...

salam,menarik&cantik gambar..